Saturday, October 23, 2010

Friday, October 22, 2010

Macam mana nak bagi persekitaran sangkar arnab bebas dari bau yang tak menyenangkan

Bagi seseorang penternak arnab sudah tentu akan menghadapi masalah ini. Baik yang menternak secara besar-besaran ataupun penternak kecil.

Mari kita berkongsi pendapat dan pengalaman tentang bagaimana cara untuk mengurangkan pencemaran bau ini. Bagi mereka yang dah lama dan otai-otai harap dapat sama menyumbang idea dan pengalaman kau orang semua. Dengan perkongsian idea ini dapatlah kita melonjakkan lagi industri penternakan arnab ini.
Sebenarnya arnab ini tidaklah mengeluarkan bau yang tak menyenangkan sangat. Namun begitu kadang-kadang di sesetangah hari tu bila buka saja pintu nak tengok arnab tu, bau tu datang semacam jer. Ini kadang-kadang menimbulkan suasana tak selesa terutamanya bagi mereka yang memelihara arnab di kawasan perumahan.

Kalau macam kami, aku cuba sentiasa bersihkan kawasan sangkar arnab tu setiap pagi dan petang.
Lantai tu pulak kene sentiasa bersih dan kering. Lantai yang kering boleh mengelakkan pembiakan hama dan bakteria.
Air minuman kene sentiasa bersih.
Kami juga letakkan pewangi sikit kat sangkar arnab tu. Tak datang kesan sangat pun....tapi buh jugak, hehe.
Daun pandan juga boleh ditanam kat sekitar sangkar arnab.
Kalau kau orang ada duit lebih korang beli penyembur pewangi automatik tu yang menyembur pd time2 tertentu yang telah kita set, contohnya Ambipure. Nak wangi setkan sembur sejam sekali....hehe
Yang lain-lain tu Jom kita kongsi sama-sama kat sini.....
Ok Cau dulu....................

Thursday, October 21, 2010

Cara Pegangan Arnab

Sudah tentu ramai yang boleh memegang arnab dan tahu caranya. Hari ni kami nak berkongsi sikit tentang mana yang betul dan mana yang salah dalam memegang arnab. Bahan bi saya petik dari Buku Penternakan Arnab Secara Komersial tulisan B. Sarwono dan Noraida HJ. Alias.

Bagi penternak-penternak arnab yang dah lama tu tentu dah expert kan tentang cara nak pegang arnab ni, namun begitu idea yang kami sampaikan ni tentu amat berguna dan bermakna bagi penternak-penternak baru seperti saya ini.

Cara pegangan yang betul
Cara pegangan yang salah

Teknik pegangan yang salah akan merosakkan otot dan urat saraf telinga arnab tersebut. Cara pegangan yang salah juga akan menyebabkan arnab meronta-ronta dan cuba untuk melepaskan diri.
Cara pegangan di kaki arnab juga akan menyebabkan arnab tergantung  dan mengganggu peredaran darah.

Harap maklumat yang disampaikan ini akan membantu penternak-penternak baru.



Wednesday, October 20, 2010

Flemish Giant - Antara spesis arnab terbesar

Gambar Ihsan dari Internet

Kali ini kami di ArnabImpian nak berkongsi sikit pasal maklumat tentang arnab gergasi ataupun antara yang paling besar sekali dalam spesisnya. Arnab jenis "FlemishGiant" ni sebenarnya berasal dari Flanders. Ianya dikatakan arnab gergasi yang berasal dari benua Eropah dari spesis Vlaam.

Arnab ini mempunyai ukuran yang besar dan diternak kerana kualiti bulkunya yang tinggi. Arnab Jantan dewasa boleh mencecah berat sehingga 6.3 kg dan yang betinanya pula boleh mencecah berat sehingga 6.8 kg apabila dewasa. Korang bayangkanlah sendiri kalau dah besar macam dalam gambar kat atas tu, berapa kg pallet dia makan sehari. Mau dekat sekilo kut.

Flemish Giant ini mempunyai kepelbagaian warna bulu yang antaranya biru, coklat, hitam, coklat kekuningan, kelabu cerah dan putih. Proses kematangan bagi arnab ini juga lambat iaitu sekitar 10 - 12 bulan. Jadi kalau ada yang nak bela arnab jenis ni kenalah sabar sebab kene tunggu lama untuk dapatkan warisnya.

Tuesday, October 19, 2010

New Zealand White Pindah Reban Baru

Lama dah tak up coretan terbaru, sibuk sebenarnya dengan pembinaan sebuah reban yang baru di pejabatku. Reban ni berukuran 20 kaki x 10 kaki. Kiranya pembinaan reban  ni sebagai satu aktiviti lanskaplah jugaklah bagi menceriakan suasana persekitaran pejabat Pusat Ko0kurikulum.. Reban arnab ni besar bukannya sebab apa, aku telah modified barang terpakai yang terdapat kat pejabat aku tu. Aku tengok besi khemah kanopi yang lama dan dah tak pakai banyak sangat dok tersandar kat tepi dinding bangunan pejabat, timbul idea untuk buat sangkar arnab ni. lalu aku pindahkan 3 ekor arnab pedaging New Zealand White kat reban ni.

Dengan azam pada bulan puasa tahun depan harap arnab ni dapat membiak dengan banyak dan akan dijadikan korban program Ihya Ramadhan. Harap jugak arnab-arnab yang ditempatkan kat sini dapat hidup sihat walafiat.
Sungguh ceria arnab2 ni bila dapat dilepaskan didalam satu sangkar yang besar. Sampai tak cukup tanah dia orang dok lari main kejar-kejar.

Wednesday, October 13, 2010

Hukum Memelihara Haiwan Dalam Sangkar

Apakah hukum memelihara binatang peliharaan seperti hamster, tikus, arnab dan sebagainya di dalam sangkar seperti yang dijual di kedai-kedai binatang peliharaan.

jawapan:



Harus hukumnya memelihara binatang peliharaan seperti burung dan seumpamanya di dalam sangkar untuk melihat kecantikan atau mendengar kemerduan suaranya dengan syarat binatang tersebut diberi makan dan minum dan tidak dizalimi.
Di dalam sahih al-Bukhari dan Muslim ada riwayat tentang saudara Anas bin Malik yang digelar Abu Umair (أبو عمير) ada memelihara burung yang bernama al-Nughair (النُّغَيْرُ – seekor burung kecil). Suatu hari burung itu mati, lalu Abu Umair (masih budak) sedih dengan kematian burung kesayangannya itu. Lalu Nabi saw bergurau dengannya sambil bertanya: “Wahai Abu Umair, apa yang terjadi kepada al-Nughair.?”
Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini di dalam Fath al-Bari berkata:
“Hadith ini telah dijadikan dalil atas keharusan mengurung burung (memeliharanya di dalam sangkar), kerana Nabi saw tidak mengingkari perbuatan Abu Umair.”
Al-Syeikh Abdul Azizi Abdullah bin Baz pernah ditanya dengan soalan ini:
“Apakah hukum orang yang menghimpunkan burung di dalam sangkar agar anak-anaknya bergembira/berhibur dengan burung-burung tersebut?”
Jawapan beliau: “Tidak mengapa perkara itu, jika disediakan kepada burung-burung tersebut keperluannya seperti makanan dan minuman, kerana asal dalam perkara ini adalah halal, dan tidak ada dalil yang menyatakan sebaliknya setakat pengetahuan kami.” (Fatawa Ulama’ al-Bilad al-Haram, m.s. 1793)
Para ulama al-Lujnah al-Daimah berkata:
“Menjual burung yang cantik seperti burung kakaktua atau burung yang berwarna-warni dan burung kecil (البلابل) kerana suaranya adalah harus, kerana melihat dan mendengar suaranya perkara yang harus, tidak terdapat nas syara’ yang mengharamkan menjual dan memilikinya. Bahkan terdapat dalil yang boleh difahami akan keharusan mengurungnya jika diberi kepadanya makanan dan minuman dan apa yang sepatutnya. Antaranya ialah hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada hadith Anas bin Malik, katanya:
‏ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا ، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ ، قَالَ : أَحْسِبُهُ فَطِيمًا وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ ؟ نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ
Maksudnya: “Nabi saw adalah seorang yang paling baik akhlaknya dan aku punyai seorang saudara yang dipanggil Abu Umair, aku mengira dia seorang budak yang sudah berhenti susuan, dan apabila Nabi saw datang, baginda akan bertanya: Wahai Abu Umair, apa yang telah dilakukan al-Nughair?” Nughar (sejenis burung kecil) yang dimain oleh Abu Umair…” al-Hafidz Ibn Hajar di dalam Syarhnya kepada Sahih al-Bukhari “Fath al-Bari” ketika menyebut beberapa faedah dari hadith ini berkata: “pada hadith ini adanya keharusan seorang budak bermain dengan burung, harus ibu-bapa meninggalkan anak kecil mereka bermain dengan apa yang diharuskan mereka bermain, harus menafkahkan sejumlah harta untuk keseronokan anak kecil dari perkara-perkara yang harus dan harus mengurung burung di dalam sangkar atau seumpamanya….” (Fatwa al-Lujnah al-Daimah, 13/38-40)

dipetik dari tulisan Mohamad Abdul Kadir Sahak dalam
http://soaljawab.wordpress.com/2008/03/20/hukum-membela-haiwan-dalam-sangkar/#more-842

Buku Penternakan Arnab Secara Komersial

Alhamdulillah dapat jugak buku ni, walaupun dekat 6 kedai pergi cari baru dapat.
Buku ni kami dapat setelah berkunjung di kedai buku MPH dekat Gurney Plaza, Pulau Pinang.

Merupakan buku yang sesuai dan harus dimiliki oleh semua peminat dan penternak arnab. Boleh dijadikan panduan dan rujukan dalam bidang penternakan arnab ni.

Buku ni banyak memberikan panduan dan ilmu yang berguna tentang cara penjagaan dan penyakit-penyakit yang selalu dihadapi oleh arnab.


Akan kami kongsikan bersama segala maklumat yang terdapat dalam buku ini dari semasa kesemasa.

Tuesday, October 12, 2010

Suasana Selesa dan Selamat bagi Arnab

Hai semua peminat arnab seantero dunia.
Hari ni kami nak kongsi sikit info berkenaan suasana selesa dan selamat bagi seekor arnab dalam pembinaan sesebuah bangsal atau reban. Dalam pembinaan sesuatu bangsal atau reban bagi arnab peliharaan kita, kita haruslah memikirkan akan keselesaan dan suasana yang selamat bagi arnab tersebut.

Apa tujuan kita membina bangsal atau reban. Sudah tentu untuk memberi perlindungan kepada haiwan kesayangan kita itu daripada faktor cuaca dan juga mengelakkan daripada serangan haiwan pemangsa. Kita tentu tidak mahu haiwan kesayangan kita itu sampai ajal pada waktu yang singkat. Apalagi jika haiwan kesayangan kita daripada jenis yang bernilai tinggi.

Apabila memikirkan untuk membina sesuatu reban atau bangsal, kita haruslah memikirkan ianya mestilah di bina di satu kawasan yang tenang dan jauh daripada haiwan ternakan lain seperti kucing, tikus atau anjing. Ia juga perlu di bina jauh daripada kawasan industri, perbandaran dan perumahan. Ini adalah bagi memudahkan pengawasan terhadap haiwan tersebut serta mengelakkan daripada aktiviti kecurian dan serangan binatang buas. Ia juga dapat mengurangkan pencemaran udara seperti najis haiwan dan kekotoran yang dihasilkan oleh haiwan ini.

Reka bentuk pembinaan bangsal arnab juga haruslah tidak terlalu sempit. Ini supaya dapat melancarkan tumbesaran haiwan ini. Bangsal boleh di bina berbagai jenis dan daripada pelbagai cara dan bahan. harus diingat bagaimana pun cara kita membina sangkar atau reban, tahap keselesaan bagi arnab haruslah diambil kira.

Ok itu sahaja buat kali ini perkongsian idea yang dapat kami berikan. Jika ada pendapat atau idea boleh kita kongsikan bersama untuk memajukan lagi industri penternakan arnab ini.

Monday, October 11, 2010

Wajah-wajah terbaru Bobo dan Bella

Wajah terbaru di usia 58 hari.

Seronok melihat Lop Ear kami semakin meningkat dewasa. Rupanya semakin nampak cantik dan ganazzzz.
Dah lah tu, jinak pulak.. Memang best main dengan arnab perhiasan macam ni. Boleh hilang stress dibuatnya bila pulang dari kerja.


Rasanya tak sabar nak tunggu keturunan Bella & Bobo yang seterusnya.

Sunday, October 10, 2010

My New Teddy Bear

Hai salam semua,

Hari ni bertambah lagi ahli baru keluarga kami. Sepasang Teddy Bear berusia 40 hari.
Minat punya pasal, usha ngan Pak Haniff 'Rnab Rkus" ada tak Teddy Bear. Dia kata ada, apa lagi tanpa banyak soal kami order  sepasang.

Dan petang tadi setelah mendapat panggilan balas dari Pak Hanif mengatakan Teddy Bear sedia untuk dilepaskan. Apa lagi kami pun bergegas ke kediaman Pak Hanif di Seberang Jaya untuk mendapatkan Teddy Bear tersebut.

Setelah memilih dari 5 ekor yang ada, maka kami membuat keputusan untuk mengambil 2 ekor Teddy Bear seperti gambar kat bawah ni. Nama belum letak lagi. Apa nama yang sesuai yer....Nantilah dipikirkan kemudian. Harap Teddy Bear ni pun sihat walafiat seperti juga Bobo dan Bella, arnab Lop Ear kami.
Bobo dan Bella kini telah makin akrab ngan kami, dimana mereka telah berani berlari-lari di kaki kami bila dilepaskan bermain diluar sangkar.

Yang ni betina
Yang ni pulak Jantan

Walaupun umur baru 40 hari kiut-kiut dah dia orang ni.

Wednesday, October 6, 2010

Fakta yang perlu anda tahu tentang Arnab

  1.  Arnab mempunyai kandungan protein yang paling tinggi.
  2.  Kandungan lemak pula adalah yang paling rendah sekali iaitu lebih kurang 60% sahaja.
  3. Paras kolesterol dalam daging arnab jika kita bandingkan dengan ayam dan daging adalah jauh lebih rendah.
  4. Daging arnab dikategorikan sebagai daging putih.(white meat)
  5. Panggilan untuk arnab jantan dewasa dikenali sebagai Buck.
  6. Panggilan untuk arnab betina dewasa dikenali sebagai Doe.
  7. Panggilan untuk anak arnab pula dikenali sebagai Kittens.
  8. Tempoh matang bagi arnab betina ialah 4 - 5 bulan.
  9. Tempoh matang bagi arnab jantan pula adalah 5 - 6 bulan.
  10. Bilangan anak yang dilahirkan antara 4 hingga 12 ekor.
  11. Arnab bunting selama 30-35  hari.
  12. Arnab boleh mengawan semula dalam masa 48 jam selepas melahirkan anak.
  13. Anak arnab akan membuka mata dalam masa lebih kurang 10 hari.
  14. Purata berat matang bagi arnab ialah jantan 1.5 kg dan betina 1.8 kg.
  15. Umur arnab tertua yang pernah direkodkan adalah berusia 19 tahun.
  16. Arnab mempunyai 28 batang gigi.
  17. Arnab mempunyai keupayaan melompat setinggi 1 meter dan sejauh 3 meter.
  18. Umur arnab boleh menjangkau sehingga 12 tahun
  19. Arnab akan menghasilkan bunyi "purr" bila gembira.
  20. Arnab amat suka mengunyah, jadikan sediakan benda keras dalam reban anda. 
  21. Arnab boleh dilatih untuk menggunakan tandas.
  22. Arnab hendaklah dijauhi daripada pemangsa, kabel elktrik dan bahan beracun.
  23. Arnab aktif makan pada sebelah malam. (lebih kurang 70%)
  24. Terdapat 72 spesis didunia yang telah dikenalpasti.
  25. Suhu badan arnab 38-40 darjah celcius.

Sedang mencari sepasang Teddy Bear

Yup....kami sedang mencari sepasang Arnab jenis Teddy Bear, Umur dalam 2 bulan.
Pada sesiapa yg ada Arnab jenis ni bolehlah terus menghubungi kami di arnabimpian@yahoo.com.

Kami memang minat nak pelihara arnab jenis ni. Syokk tengok arnab jenis ni. Rupa macam Teddy Bear betul.
Sapa-sapa yang  ada contact kami yer...

Tuesday, October 5, 2010

Sayuran Segar bagi diet Arnab

Pemberian pallet atau dedak sahaja bagi arnab peliharaan kita adalah tidak memadai. Ianya haruslah diselang selikan dengan pemberian makanan yang mempunyai zat dan nutrien yang lain. Pemberian sayur-sayuran segar bagi diet arnab adalah amat baik sekali. Antara sayuran segar yang boleh diberikan kepada arnab ialah seperti kankung, kacang panjang, sawi, karrot, pandan, bayam, jagung dan berbagai sayuran hijau lagi. Namun begitu berhati-hati dengan sayur kobis bulat. Seeloknya elakkian pemberian kobis bulat.

Pemberian sayur hijau haruslah diberi secara berperingkat satu demi satu dan anda harus lihat sayuran mana yang sesuai dan tidak sesuai untuk arnab anda. Untuk memastikan sayuran mana yang sesuai atau tidak lihatlah pada tahi arnab arnab anda. jika tahinya bulat elok dan kering, ini bermakna sayuran itu sesuai. Jika tahinya lembik dan seperti hancur itu bermakna sayuran itu tidak sesuai dan berhentikan serta merta pemberian sayuran tersebut.

Harus diingat jika ingin memberikan arnab anda pemakanan sayuran, janganlah diberi sayuran  yang telah layu dan rosak. Ini boleh menyebabkan arnab anda mengalami cirit birit. Sayuran yang hendak diberi haruslah dibasuh terlebih dahulu dengan air yang bersih dan dijemur bawah matahari sekitar 2 atau 3 jam. Ini bagi membuang segala toksid dan racun rumpai yang diguna oleh petani sebelum ini.

Sayuran segar elok diberikan kepada arnab yang berusia sekitar 12 minggu. Ini kerana arnab yang terlalu muda dibimbangi masih belum sesuai dengan pemakanan tambahan ini. Juga boleh mengelakkan cirit birit bagi arnab. Harus diingat juga jika ingin memberi sayuran janganlah diberi dalam kuantiti yang terlampau banyak dan kerap, eloklah hanya diselangselikan sahaja dengan pallet.

Monday, October 4, 2010

Open House Raya

Pada hari Ahad yg lepas, 3 Okt 2010, Arnab Impian mengadakan Open House Raya. Ramai rakan taulan dan sahabat handai yang di jemput. Terima kasih pada yg sudi hadir memeriahkan lagi majlis. Pada ketika ini juga kami telah berkesempatan membawa turun Bobo dan Bella untuk tatapan umum buat kali yang pertama. Ternyata Bobo dan Bella begitu ramah sekali melayan karenah para tetamu. ramai yang seronok dan terhibur melihat telatah Bobo dan Bella.
Cg Razali dan anaknya-Mula-mula perhati dulu
Makin lama makin dekat.....boleh senyum lagi
Lepas tu siap boleh pegang lagi.....
..
Hai....kiut tak saya...
macam mana bulu saya, lebat tak...ni tak payah buat teknik rebonding tau,,,,,

Friday, October 1, 2010

Bella dan Bobo, Lop Ear terbaru kami

Seperti dijanjikan, sepasang Lop Ear telah berpindah tangan dari penternab "Rnab Rkus'  ke "Arnab Impian". Memang rasa tak sabar masa nak pergi ambil arnab ni. Macam-macam bermain difikiran, dapatlah aku menjaga dengan baik arnab ini seperti tuannya yang dulu.

Setelah sampai ke rumah kami memasukkan sepasang Lop Ear ini ke sangkar yang baru sahaja disiapkan. Alhamdulillah perjalanan dari Seberang Jaya ke Alma tidaklah tertekan mana bagi arnab ini. Kami amat teruja kerana Lop Ear ini amat jinak sekali. Puas kami dok godek cari nama yang sesuai bagi kedua ekor arnab ini, akhirnya termetrailah dengan nama Bella bagi yg betina dan Bobo bagi yang jantan.

Yang ini Lop Ear jantan, namanya Bobo

Yang ni pulak Lop Ear betina, namanya Bella.

Moga Bella dan Bobo ceria di sangkar baru mereka.

Inilah rupa sangkar baru kesemua arnab kami. Yang kat sangkar atas tu 3 ekor arnab jenis New Zealand White yang di perolehi dari Pak Omar dari Riverstone Farm.

New Zealand White tu namanya Lili dan Lulu bagi yang betina dan Lolo bagi yang jantan. Yang tak syoknya, Lili dan Lulu ni kuat sungguh beraknya.

Wednesday, September 29, 2010

Lop Ear Rabbit.....Keluarga Baru kami

Haha...Petang ni 2 ekor lagi arnab dari baka Lop Ear akan menambahkan bilangan ahli keluarga kami. Arnab ni kami dapatkan dari penternak dari Seberang Jaya iaitu Pak Haniff dari Rnab Rkus.

Kami berjumpa arnab ni pun secara tak sengaja, bila dok belek-belek laman arnab dalam internet dan terjumpa pulak dengan blog Pak haniff ni. Kebetulan pulak beliau memang nak let go sepasang arnab jenis Lop Ear ni. Tarikh lahir Lop Ear ni pada 15 Ogos 2010 iaitu masa bulan Ramadhan yang lalu. Mesti berkat Lop Ear ni sebab lahir bulan puasa, hehe.

Sebenarnya tempahan dan booking telah dibuat pada 25 hb yang lepas. tapi disebabkan Lop Ear ni masih dalam pantang lagi jadi, Pak Haniff hanya akan melepaskan arnab ni pada 2 Oktober. Namun begitu hari Selasa lepas pak Haniff telepon dan bagitau Lop Ear sedia untuk berpindah tangan.

Apa lagi kami terpaksa mempercepatkan proses pembikinan rumah baru untuk keluarga baru kami ini.. Tengoklah nanti, akan kami upload gambar sepasang Lop Ear ni.

Dunia Baruku ........Arnab Impian

Tanggal 22 September 2010 yang lalu, aku telah melamar 3 ekor arnab dari seorang penternak arnab dari Pantai Remis, Perak, iaitu dari seorang penternak yang berjaya iaitu En Omar dari Arnab Riverstone.

Lama jugaklah dok memilih arnab di ladang arnab milik Pak Omar, akhirnya saya melamar 2 ekor betina dan seekor jantan dari jenis arnab pedaging, New Zealand White. Tarikh lahir arnab ni pada 30 Julai 2010. Tak sampai 2 bulan lagi pun.

Harap-haraplah baka arnab yang saya pilih ni akan sihat walafiat dan beranak pinak dengan baiknya. Maka mulalah perjalanan 3 ekor New Zealand White ni selama 3 jam ke Bukit Mertajam. Alhamdulillah sampai kat rumah semua 3 ekor sihat walafiat.

Rumah dan kandang baru arnab ni telah sedia menanti, Saya telah menempatkan 3 ekor  New Zealand White ni ke dalam 2 sangkar berbeza, dipisahkan jantan dari betina. Belum cukup masa lagi nak mengawan, hehe.


Harap rumah dan kandang baru ni cukup selesa untuk korang bertiga........